Halaman

Selasa, 5 November 2013

Saiyidina Saad bin Ubadah r.a.


Ketua Kaum Ansar....


Kisah ini berlaku di zaman Rasulullah SAW yang mulia, cerita berkaitan dengan Kaum Ansar di Madinah. Sedutan dari buku 'Cacatan Sejarah Rasulullah SAW' Karangan Tuan Nasaruddin Awang dari mukasurat 396-403

Kaum ansar yang tidak mendapat sebarang habuan dari ghanimah perang Hunain merasa diketepikan. Ada yang berkata Rasulullah telah melupakan mereka apabila baginda telah diterima kembali oleh Quraisy. Sayyidina Saad bin Ubadah datang bertemu dengan Rasulullah. Saad memberitahu, "Wahai Rasulullah, para Ansar berkecil hati dengan Rasulullah" Baginda bertanya "Kenapa wahai Saad?". Saad menjelaskan, "Rasulullah telah memberikan kepada semua orang kecuali Ansar"

Rasulullah bertanya kepada Saad, "Kamu sendiri wahai Saad, apakah yang kamu rasakan?". Saad mengaku, " Wahai Rasulullah, aku juga salah seorang dari kaumku". Apabila Rasulullah melihat Saad juga terkesan, Baginda meminta Saad mengumpulkan semua orang Ansar. Rasulullah mahu berdialog dengan kaum Ansar.

Apabila seluruh kaum Ansar yang menyertai Hunain berkumpul, Rasulullah berucap kepada mereka. Rasulullah bertanya, "Wahai Ansar, bukankah aku datang kepada kamu ketika kamu dalam kesesatan dan Allah telah memberi petunjuk kepada kamu? Bukankah aku datang kepada kamu ketika kamu miskin kemudian Allah telah mengkayakan kamu? Bukankah aku datang kepada kamu dalam keadaan kamu berpecah belah sehingga Allah satukan kamu? Bukankah aku datang kepada kamu ketika kamu dikalahkan sehingga Allah memenangkan kamu?".
Setiap pertanyaan Rasulullah itu dijawab oleh Ansar, "Dari Allah dan RasulNyalah segala jasa dan pemberian".

Kemudian Rasulullah berkata, "Kalau kamu mahu berkata, kamu juga boleh berkata kepadaku dan kamu benar dalam perkataan kamu itu. Kamu telah datang kepada kami keseorangan, kamilah yang membela kamu! Kamu datang kepada kami miskin, kamilah yang mengkayakan kamu! Kamu datang kepada kami diburu, kamilah yang mempertahankan kamu!"

Setiap ucapan Rasulullah itu mereka hanya mampu mengulang-ulang "Dari Allah dan RasulNyalah segala jasa dan pemberian".

Rasulullah telah mengingatkan mereka apa yang telah mereka perolehi dari Baginda. Begitu juga Rasulullah sebut kepada mereka apa yang telah Baginda perolehi dari mereka.

Seterusnya Rasulullah bersabda kepada mereka:
" Apakah kamu mahu berkecil hati kepadaku terhadap sedikit dunia yang aku berikan kepada orang lain untuk mengikat hati mereka kepada Islam, sedangkan aku telah mempercayai kamu kerana iman kamu? "

"Apakah kamu tidak redha, orang lain pulang membawa kambing dan unta tapi KAMU PULANG MEMBAWA RASULULLAH BERSAMA KAMU?"

Mereka menyahut, "Kami telah redha, kami telah redha, wahai Rasulullah!" sambil mereka menangis hiba dan terharu.

Kemudian Rasulullah berdoa kepada mereka: "Ya Allah, rahmatilah kaum Ansar dan anak-anak kaum Ansar dan cucu-cucu kaum Ansar! Ya Allah musuhilah mereka yang memusuhi kaum Ansar dan sokonglah mereka yang menyokong kaum Ansar!"

Alangkah gembiranya para Ansar. Mereka bersyukur dan terharu dengan doa Rasulullah itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan