Mengumpat adalah menceritakan kelemahan/keburukan/kecacatan sebenar seseorang atau kumpulan tertentu tanpa disedari oleh orang itu atau kumpulan yang diumpat.
Perkara yang diumpat itu kalau diketahui oleh mangsa umpatan itu sangatlah tidak disukai olehnya.
Hanya 6 keadaan saja menurut Islam, kita dibolehkan menyebut keburukan seseorang.
1) Supaya orang yg teraniaya oleh kezaliman seseorang dapat pembelaan sewajarnya dengan menyebut kejahatan si zalim kepada Hakim
2) Disebut kejahatan untuk mencungkil punca kejahatan itu dilakukan.
3) Untuk mengeluarkan sesuatu hukum, perlu mengetahui cerita sebenar.
4) Supaya kejahatan yang sudah sampai merosakkan itu dijauhi masyarakat.
5) Supaya dikenali orang. (Kerana sesetengah orang sudah popular dengan gelaran tertentu contohnya "Mad yang mata sepet tu...").
6) Bila seseorang itu sengaja buat kejahatan dan bermegah dengan kejahatannya.
Mari kita lihat keburukan mengumpat:
1) Kita telah membuka aib orang, maka tunggulah masa yang dijanjikan Tuhan untuk aib kita dibuka seluas-luasnya bila-bila masa dari sekarang.
2) Boleh jadi orang yang kita umpat itu sudah bersedia (sabar dan redho) menjadi mangsa umpatan, rohnya akan meningkat mendadak, tapi kita yang seronok mengumpat ni boleh tahan ke diumpat. Kata Ulamak "Orang yang mengumpat adalah orang yang paling tidak tahan diumpat".
3) Kita telah menyebabkan orang lain telah berubah pandangan kepada seseorang (yang diumpat), kalau selama ini orang itu baik, maka kita telah menjadikan orang yang kita umpat itu jahat sejahat-jahatnya pada pandangan orang.
4) Kita telah memecah-belahkan masyarakat dalam sekelip mata yang selama ini diikat erat dengan berkasih sayang. Ibarat senangnya nak meruntuhkan bangunan yang bersusah payah dibina sebelum ini.
5) Musuh akan menggunakan peluang ini untuk menghancurkan organisasi dan perpaduan sesuatu kepimpinan.
6) Kita sudah menutup pintu pembelaan kepada orang yang diumpat itu.
7) Kita telah meramaikan team pengumpat atau menambahkan team yang mendokong apa-apa saja yang kita umpat. Sebab syaitan sudah mengindahkan atau mencantikkan bahan yang diumpat dengan gelak tawa atau bahan lawak yang mengilai-ngilai.
8) Kalau kita jenis orang yang tidak istiqomah koreksi diri setiap hari, kita tak rasa berdosa terhadap kerja mengumpat kita. Maka bertimbun-timbunlah dosa yang nak dibawa kepada Tuhan.
9) Susah nak minta maaf sebab kita melibatkan dosa sesama manusia. Kalau kita jenis ego yang besar, nak minta maaf adalah sesuatu yang mustahil nak dilakukan. (Mahu tak mahu kena tempuh juga).
10) Menurut Kajian Tentang Komunikasi Di Kalangan Manusia mendapati bahawa apabila berita tentang isu 'x' dibawa, maka apabila berita itu sampai kepada orang yang kelima atau ke enam atau seterusnya isu 'x' itu telah ditokok tambah... Maka makin besarlah kerosakan yang akan kita cipta. Rasa-rasanya dosa kita akan makin kecil atau makin besar?.
Firman Allah SWT: "Dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati. Jika demikian, balasan orang yang mengumpat , maka sudah pasti kamu jijik kepadanya".
(Al-Hujurat:12)
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Adakah kamu semua mengetahui apakah ghibah (mengumpat)? Sahabat menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Lalu Baginda meneruskan sabdanya: Kamu berkata mengenai saudara kamu perkara yang tidak disenanginya. Lalu ditanya oleh seorang sahabat: Walaupun saya berkata perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya?’ Rasulullah bersabda lanjut: “Jika kamu berkata mengenai perkara yang benar-benar berlaku pada dirinya bererti kamu mengumpatnya, jika perkara yang tidak berlaku pada dirinya bererti kamu memfitnahnya.”
(Hadis riwayat Abu Hurairah)
Pada satu ketika Aisyah r.ha bersama Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba datang seorang lelaki yang sangat pendek. lalu Aisyah berkata kepada Rasulullah,
" Ya Rasulullah, pendeknya orang itu." Sabda Rasulullah s.a.w, " Ya Humairah, sesungguhnya kamu telah mengumpatnya."Aishah menafikannya dan mengatakan, " Itu benar Ya Rasulullah." Maka Rasulullah s.a.w bersabda, "Yang benar itulah yang dikatakan mengumpat. jika perkara itu tidak benar, maka itu dikatakan dusta dan makin bertambahlah dosa kamu." lalu Rasulullah menyuruh Aishah r.ha pergi memohon maaf kepada lelaki itu.
Sajak:
Pengumpat Tidak Tahan Diumpat
Orang yang selalu mengata orang biasanya dia tidak tahan dikata orang
Orang yang selalu mengumpat orang biasanya tidak suka diumpat orang
Walaupun dia selalu mengata dan mengumpat orang
dia tidak tahan diumpat dan dikata, jiwanya menderita
Jiwanya sangat gelisah jika dia dikata dan diumpat
Biasa juga orang yang tidak suka mengata dan mengumpat,
dia tidak begitu sedih dan tidak susah hati jika dia dikata dan diumpat
Orang yang tidak suka mengata dan mengumpat biasanya dia terlalu memikirkan dirinya sendiri
Dia merasakan dirinya juga sering membuat kesalahan dan kesilapan
Kerana itulah dia tidak minat hendak mengata dan mengumpat orang
Kalau dia dikata dan diumpat orang, dia tidak begitu terasa apa-apa
Bahkan mungkin hati kecilnya berkata patut dia dikata, kerana dia manusia yang lemah juga
Dengan umpatan orang itu dia bertambah lagi membaiki diri
Lantaran itulah dia tidak bertindakbalas di atas kejahatan orang itu
Begitulah seterusnya orang yang sombong, pantang orang lain sombong dengannya
Kesombongan orang lain terhadap dirinya, dia tidak sanggup menerima cabaran
Di sini baru kita faham, orang yang nampaknya macam berani dan garang,
selalu sahaja mengumpat orang dan sombong dengan orang
Sebenarnya jiwanya tidak kuat, tidak mampu kena cabar
Di sebalik nampaknya garang tersembunyi sifat penakut dan pengecut
Tapi orang yang tenang, tidak nampaknya riuh-rendah sebenarnya jiwanya kuat
Di sebalik ketenangannya tersembunyi keberanian dan ketahanan jiwanya
Kerana itulah orang seumpama ini sabarnya luar biasa
Mampu menerima berbagai-bagai ujian dan kesabaran
29 Muharam 1421H
Tiada ulasan:
Catat Ulasan