Nabi Muhammad SAW manusia paling bersih peribadinya, tidak pernah melakukan dosa samada dosa besar ataupun dosa kecil. Sebutlah apa saja kejahatan yang berlaku waktu sekarang, baginda tak pernah melakukannya. Bahkan terhindar dari melakukan dosa, ini dapat dilihat sewaktu baginda belum diwafatkan. Semasa baginda di usia remaja, datang perasaan nak melihat majlis keramaian yang ada kugiran muzik yang akan diadakan di suatu tempat. Sewaktu baginda transit di tengah-tengah perjalanan, baginda berehat di bawah sepohon pokok, baginda telah ditidurkan oleh Allah SWT. Sewaktu baginda terjaga dari tidur, majlis tersebut telahpun tamat.
Baginda telah diampunkan dosa yang terdahulu, dosa semasa dan dosa yang akan datang. Bahkan baginda terdiri dari golongan Rasul-Rasul dan Nabi-Nabi dalam golongan manusia yang maksum. Kita manusia biasa walaupun diberi nama Maksum, tak terhindar daripada melakukan dosa (tidak ada kena mengena manusia yang hidup atau yang telah tiada). Namun begitu, baginda sangat mengekalkan rasa kehambaan kepada Allah SWT. Sehinggakan baginda sanggup berbengkak-bengkak kaki kerana terlalu lama berdiri melakukan solat sunat pada waktu malam. Ini terdapat dalam hadis yang sangat mahsyur menceritakan peribadi Rasulullah yang sangat menyentuh hati itu.
Daripada Aisyah r.ha berkata: "Bahawasanya Rasulullah s.a.w selalu beribadat di waktu malam sehingga bengkak kedua kakinya. Maka saya pun berkata kepadanya: "Kenapa engkau beribadat sampai jadi begini Ya Rasulullah? , sedangkan Allah swt telah mengampuni dosamu yang terdahulu dan dosamu yang terkemudian (seandainya baginda berdosa, padahal sebenarnya baginda maksum dari berbuat dosa). Lalu Nabi s.a.w menjawab: "Bukankah lebih elok kalau aku menjadi seorang hamba yang banyak bersyukur".
(H.R. Bukhari).
Baginda juga tidak putus-putus memohon keampunan kepada Allah SWT. Diceritakan tak kurang 70 atau 100 kali baginda istighfar dalam sehari.
Sabda Nabi SAW:
وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ مَرَّةً
“Demi Allah, aku benar-benar beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam satu hari lebih banyak dari tujuh puluh kali.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِي، وَإِنِّي لَأَسْتَغْفِرُ اللهَ، فِي الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
“Sesungguhnya aku dicukupkan atas hatiku dan aku beristighfar kepada Allah sehari seratus kali.”
(Hadis Riwayat Muslim)
Sebab itu, baginda dilihat sebagai orang yang paling terpuji.
Disebutkan dalam suatu hadis:
مَنْ لَزِمَ الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
“Sesiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah menjadikan untuknya dari setiap kesedihan ada kegembiraan, bagi setiap kesempitan ada jalan keluar, dan memberinya rezeki yang tidak disangka-sangka.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُمْ مَتَاعًا حَسَنًا إِلَى أَجَلٍ مُسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ وَإِنْ تَوَلَّوْا فَإِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ كَبِيرٍ
“Dan beristighfarlah kepada Rabb-mu, kemudian bertaubatlah kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kepada kamu kenikmatan yang baik sehingga waktu yang ditentukan, dan Dia memberi kepada setiap yang memiliki keutamaan, keutamaannya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab di hari yang besar (Kiamat).”
(Surah Huud: 3)
Jadi di sini disenaraikan, perkara-perkara yang kita kena minta ampun setiap hari. Yakni bukan sahaja mulut kita mengucapkan perkataan taubat, tapi disertai hati yang sangat menyesal akan kesalahan yang telah dilakukan.
(Senarai dimulakan dengan dosa terhadap diri dan diakhiri dengan dosa kepada Allah, agar ada rasa kemuncak istighfar)
1) Ampunkan dosa zahir dan batinku.
2) Ampunkan dosa sekecil-kecil dosa dan sebesar-besar dosa yang telah ku lakukan.
3) Ampunkan dosa yang aku lakukan dahulu sehinggalah dosa yang aku lakukan sekarang.
4) Ampun dosa kerana mazmumah hatiku.
5) Ampunkan dosa kerana kufurnya aku terhadap nikmatMu.
6) Ampunkan dosa kerana aku telah menyalahgunakan 7 pancaindera yang telah Tuhan berikan.
7) Ampunkan dosa yang aku lakukan secara sembunyi atau terang-terangan.
8) Ampunkan dosa yang aku lakukan secara sengaja atau tidak sengaja.
9) Ampunkan dosa yang aku lakukan kepada setiap manusia.
10) Ampunkan dosa yang aku lakukan kepada setiap makhlukMu.
11) Ampunkan dosa yang aku lakukan kepada Mu ya Allah.
Setiap satu di atas, huraikanlah ikut kemahuan hati yang bersalah. Contohnya nombor 9. Ya Allah ampunkan dosa yang aku lakukan kepada setiap manusia, dosaku terhadap Nabi SAW sedangkan baginda sangat nak menyelamatkan aku dunia dan Akhirat, dosa sehingga tersinggungnya perasaan ibu dan ayahku, dosa tak melaksanakan tanggungjawab sebagai anak. Dosa kepada pemimpin dan guru-guruku yang menunjukkan jalan kebenaran kepadaku (kalau boleh sebutlah nama mereka satu persatu), dosa kepada jiran tetangga, dosa kepada anak murid, dosa kepada kawan-kawan, dosa kepada suami/isteri, dosa kepada anak-anak……(dan seterusnya)
Bertaubatlah, kerana kita tidak tahu dosa yang mana akan menghumbankan kita ke Neraka. (Wa Na'uzubillah)
Semoga ada manfaatnya...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan