Salam peringatan.
Ada hadis menyebut:
"Kebanyakan umur umatku adalah 60-70 tahun. Sedikit daripada mereka yang lebih daripada itu"
Tidaklah sekali-kali Allah SWT itu menzalimi makhluk yang diciptaNya. Terutama tentang umur umat Nabi Muhammad SAW yang pendek-pendek sekitar 60-70 tahun dan boleh bilang jari yang melebihi umur subsidi itu. Sedangkan umur umat Nabi-Nabi dahulu panjang-panjang malahan mencecah ribuan tahun. Ramai yang menganggap bila panjang umur baru boleh merasa semua nikmat Tuhan atas muka bumi ini dan boleh buat kebaikan dengan sebanyak-banyaknya menurut masa umur panjang yang diperuntukkan kepada kita.
Sebab itu, orang melayu suka berdoa "Wahai Tuhan panjangkan umurku dan murahkan rezekiku". Sudahlah doa tersebut untuk kepentingan diri (sebab tak sebut panjangkan umur kami dan murahkan rezeki kami), bunyi doa itu macam baik, tapi dari segi bahasa, masih umum. Bahkan kita minta yang sedikit yakni 'minta rezeki yang murah!'. Sebab tu berdoa jangan sekadar burung kakak tua, sekadar boleh menyebut, tapi hendaklah faham dan menghayati apa yang dipohon.
Macam para pengejar tender projeklah, kelihatan mahu merebut tender besar, tapi dalam kertas kerja tulis tender kecil, sampai bilapun kita tak dapat tender yang besar-besar sebab salah permohonan.
Berbalik kepada berdoa tadi, kalau sekadar minta panjang umur dan mudahkan atau limpahkan rezeki, itu baru doa umum belum khususiah. Kalau kita berhenti setakat itu, kalau Tuhan makbulkan, 'terpeleot' kita. Apa tidaknya banyak orang, Tuhan telah beri nikmat yang banyak kepada mereka dan panjangkan umur mereka, tapi akhirnya mati tak sempat nak berbakti, tak sempat berterima kasih dan tak dapat nak bersyukur kepada Allah SWT, seperti Qarun dan orang-orang kaya yang lupa daratan.
Sepatutnya di samping kita mendoakan panjang umur dan limpahkan rezeki, mintalah pada Tuhan agar kita menjadi orang-orang yang bersyukur.
Kerana apa?
Firman Allah SWT
"Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang bersyukur".
(34:13)
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan; “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambahkan (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”
(14:7)
Berbalik kepada umur umat Nabi Muhammad SAW yang pendek, udahlah pendek, banyak pula yang mati di usia muda. Lebih-lebih lagi, waktu kini tak payah pergi berperangpun boleh cepat mati. Antara insidennya, adalah seperti mati kemalangan jalan raya, mati kerana penyakit yang bermacam-macam seperti kanser, sakit jantung, diabetes, AIDS dan lain-lain. Tak kurang juga wabak aedes, H1N1, flu, kencing tikus dan sebagainya. Ditambah lagi dengan bencana taufan, tsunami, gempa bumi, tanah runtuh, empangan pecah dan lain-lain.
Mana letaknya keadilan Tuhan? Kalau tak betul cara berfikir kita, maka di sinilah salah satu asas pemikiran orang yang tak mahu percayakan Tuhan atau lebih dikenali 'free-thinker'. Mereka beranggapan berlaku ketidakadilan Tuhan, lantas meminggirkan peranan Tuhan. Na'uzubillah dari kita berfikiran begitu.
Kasih sayang Tuhan dan Keadilan Allah SWT dilihat kepada teknologi maklumat yang diizinkanNya, tercipta dalam era umat Nabi Muhammad SAW. Seruan menyeru kepada kebaikan, menerima kalimah toiyibah, menasihati kesabaran, berpesan tentang kebenaran, mengajak amal makruf dan mencegah segala kemungkaran mudah dan cepat sampai ke telinga setiap manusia dengan adanya talipon, tv, hand phone, internet, facebook, what apps, blog, you tube, skype, sidang video, bacaan-bacaan online dan lain-lain. Di samping itu gerakan dakwah, toifah-toifah senantiasa wujud dan ada di setiap kurun. Tambahan lagi sudah ada alat telekomunikasi, jalan perhubungan yang pelbagai dan kenderaan-kenderaan yang canggih, semuanya memungkinkan mesej dakwah itu sampai dan meluas.
Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a. berkata, “Rasulullah SAW. bersabda, “Sentiasa di kalangan kamu ada golongan yang berjaya (dalam perjuangan mereka), sehingga tiba suatu saat yang dikehendaki oleh Allah SWT. Mereka sentiasa berjaya”.
(H.R. Bukhari)
Jadi tak bolehlah kita nak katakan kat orang, "ish! kesian orang tu, muda-muda lagi dah mati accident, tak sempat nak belajar agama", sebab seruan agama sudah sepatutnya sampai ke telinga dia melalui teknologi yang diizinkan Allah SWT di akhir zaman ini.
Kelengkapan seperti yang disebutkan tadi, sudah cukup untuk membuktikan Maha Suci Tuhan dari menzalimi umat Nabi Muhammad SAW yang umurnya pendek-pendek.
Dan Kasih-Sayang Tuhan itu dapat dirasakan lagi apabila pahala setiap amalan yang dibuat oleh umat Nabi Akhir Zaman diganda-gandakan. Ada yang digandakan 10, ada yang 27, ada 700 dan ada yang tak dapat dihitung. Ada yang seumpama beribadah seperti 1000 bulan. Yang ini bonus untuk umat Nabi SAW yang merebut keutamaan dan Rahmat Allah dalam ibadah fardhu dan sunat.
p/s:
Tapi ingat, disamping medium di atas meluaskan kebaikan kepada kita ke seantero dunia, ianya juga boleh berlaku sebaliknya. Ibarat gunakan pisau untuk siang ikan dan potong sayur tak salah, yang salahnya bila gunakan pisau itu untuk membunuh nyawa yang tidak berdosa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan