Bertaqwalah. Pesanan ini sangat
penting untuk diulang-ulang dan dihayati khususnya di zaman kita yang begitu
mudah lupa kepada Allah. Bahkan hubungan kita lebih rapat dengan facebook,
whatsapp, televisyen, dan sebagainya berbanding solat, al-Quran, zikir dan
perkembangan nasib umat Islam seluruh dunia bahkan di negara kita sendiri.
Firman Allah SWT di dalam surah
al-An’am ayat 114:
Bermaksud :
(Katakanlah Wahai Muhammad): "Patutkah Aku (terpedaya dengan kata-kata
dusta syaitan-syaitan itu sehingga aku) hendak mencari hakim selain dari Allah,
padahal Dia-lah yang menurunkan kepada kamu kitab Al-Quran yang jelas nyata
kandungannya satu persatu (tentang yang benar dan yang salah)?" dan orang
yang Kami berikan al-kitab (Zabur, Taurat, Injil), mengetahui bahawa al-Quran
itu adalah diturunkan dari Tuhanmu dengan sebenar-benarnya. Oleh itu, jangan
sekali-kali engkau menjadi (salah seorang) dari golongan yang ragu-ragu.
Ayat ini menjelaskan kepada kita
bahawa Nabi Muhammad SAW, tidak mudah terperdaya dengan kata-kata dusta,
daripada syaitan-syaitan yang menyebabkan baginda mencari panduan atau hakim
lain selain daripada Allah. Sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada baginda
kitab al-Quran yang jelas nyata isi kandungannya satu persatu, meliputi perkara
yang halal dan juga perkara yang haram, hukum-hakam syarak, usul agama dan
cabang-cabangnya. Tidak memerlukan penjelasan dan tiada yang lebih baik
hukumannya. Kerana sesusungguhnya hukum-hukum Allah meliputi hikmah dan juga
rahmat.
Sesungguhnya dasar-dasar dalam agama
Islam terdapat di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Agama Islam telah
diberitakan kehadirannya dalam kitab-kitab para rasul terdahulu. Kitab Zabur,
Taurat dan Injil telah menceritakan kepada umat-umatnya tentang kedatangan
agama Islam di akhir zaman nanti.
Setelah datangnya agama Islam kepada
umat akhir zaman, Islam diamalkan dalam seluruh kehidupan manusia. Umat Islam
mengamalkan segala perintah yang telah ditetapkan kepada mereka dan
meninggalkan segala larangan yang dikenakan ke atas mereka. Seterusnya mereka
menyeru kepada manusia yang lain untuk beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Kesungguhan umat Islam melaksanakan agama Islam telah membawa kesejahteraan dan
keselamatan kepada semua penduduk bumi ini.
Akhir-akhir ini, kita dikejutkan
dengan usaha-usaha terancang musuh-musuh Allah dan Rasul-Nya untuk melenyapkan
Islam daripada muka bumi ini. Mereka mencanangkan Islam sudah tidak releven,
malah sudah tidak sesuai pada zaman perkembangan sains dan teknologi. Di tambah
pula dengan suara-suara lantang dengan mengatakan Islam menyekat kebebasan
manusia. Mereka juga turut mencanangkan semua agama termasuk agama Islam,
membawa kepada tuhan yang sama. Ini semua adalah suara-suara derhaka dan
terkutuk yang cuba membisik di telinga umat Islam dengan niat dan
matlamat menukar budaya dan cara hidup beragama seperti yang dikehendaki oleh
Allah dan Rasul-Nya.
Ini semua adalah serangan luaran
daripada musuh-musuh Islam yang begitu hasad dengki dan benci kepada agama
kita. Sedarilah kita semua, kita wajib membina dinding dan benteng yang
menghalang kita dari kemurkaan dan azab seksa daripada Allah. Kita tidak boleh
membiarkan agama Islam terus dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Allah dan
Rasul-Nya.
Janganlah kita sendiri menjadi peluru
dan bom yang cuba memusnahkan benteng-benteng Islam yang telah dikukuhkan oleh
Rasulullah SAW, para sahabat baginda, para Tabien dan generasi-generasi selepas
mereka. Adakalanya usaha meruntuhkan benteng dan dinding itu datang daripada
dalam diri kita sendiri. Kita sudah tidak menghiraukan kewajipan-kewajipan
agama yang ditaklifkan kepada kita, kita sudah tidak menganggap dosa-dosa kita
sebagai penyebab musibah dan malapetaka kepada hidup kita.
Dosa-dosa yang kita lakukan seperti
melakukan maksiat secara terang-terangan di khalayak ramai tanpa segan silu,
memuja artis secara keterlaluan, membiarkan diri dipeluk cium bukan mahram dan
menggadai maruah dan harga diri, kita hanya anggap seperti menepis lalat yang
hinggap di muka kita sahaja. Walhal sepatutnya sebagai seorang Muslim,
dosa-dosa yang kita lakukan dirasakan seperti sebuah gunung yang akan
menghempap dan melenyapkan kita.
Imam al-Ghazali di dalam Kitab Ihya
Ulumiddin ada menyatakan :
"Betapa
banyak makanan yang dimakan telah menghalang dari bangun malam, berapa banyak
pandangan yang telah menghalang dari membaca surah al Quran. Dan sesungguhnya
ada di kalangan hamba yang makan makanan mahupun membuat sesuatu perbuatan. Ia
tertegah daripada bangun malam selama setahun. Dan seperti mana solat itu
mencegah daripada kekejian dan kemungkaran, begitu jugalah sebaliknya kekejian
itu akan menghalang daripada solat dan sekelian amal kebajikan."
Imam Sufyan al-Thaury berkata :
“Aku terhalang
daripada bangun malam selama 5 bulan disebabkan satu dosa yang aku lakukan.
Ditanya apakah dosa itu? Ia menjawab : Aku pernah melihat seorang lelaki sedang
menangis lantas aku berkata kepada diri ku bahawa ia sengaja menunjuk-nunjuk.”
Adakalanya usaha meruntuhkan benteng
dan dinding itu datang daripada luar yang sengaja dilakukan agar bergabung
dengan faktor dalaman dalam diri kita sendiri. Contoh faktor luaran seperti
maksiat dan kemungkaran yang ditaja dengan kos yang amat tinggi sehingga
mengabaikan aspek-aspek yang lain. Api persengketaan sesama muslim yang
sentiasa diperbaharui nyalaannya. Begitu juga, pesalah-pesalah syariah yang
sering dilindungi dengan selimut hak asasi manusia.
Melihat betapa banyaknya ranjau dan
rintangan dalam membina dan mempertahankan kemuliaan Islam, maka layak benarlah
nilai kemuliaan seseorang itu letaknya pada kehebatan taqwanya.
Allah berfirman dalam surah al-Hujurat
ayat ke 13:
Bermaksud :
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya
di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan
kamu).
Firman Allah yang
bermaksud : Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa manusia (jalan) kefasikan dan
ketakwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa, dan
sesungguhnya rugilah orang yang mengotorinya.
Ketahuilah dunia ini hanya tempat
tinggal sementara kepada kita. Usia-usia kita yang berbaki hendaklah ditambah
dengan amal ibadah sebagai bekalan menemui Allah kelak. Kita sering diingatkan,
untuk sentiasa bertaqwa kepada Allah dan Rasul-Nya, namun sebahagian daripada
kita masih lagi memilih untuk alpa daripada bertaqwa kepada pemilik alam ini,
bersikap fasiq dan derhaka kepada sang Penciptanya.
Di antara kita ada yang berikrar dan
berazam dengan melakukan segala bentuk kebaikan tetapi hangatnya tidak sampai
beberapa hari. Ada pula yang pada mulanya melakukan kebaikan tetapi akhirnya
lalai sehinggalah Allah menimpakan bala bencana lalu menyedarkan mereka.
Manakala ada juga sekumpulan manusia yang apabila ingin menzahirkan kegembiraan
menyambutnya dengan acara dosa dan maksiat dan tidak merasa bersalah dan malu
kepada Allah Taala.
Marilah kita terus istiqamah dalam
menjaga batas-batas dan ketentuan Allah demi mencari keredhaan-Nya. Iman dan taqwa
perlu dibentuk dan dipelihara supaya ianya membuahkan hasil yang baik di
akhirat kelak. Hanya orang yang bertaqwa sahaja akan merasai keuntungan dan
kejayaan di dunia dan akhirat. Jika Allah mentaqdirkan kita memiliki umur yang
panjang hingga kita mampu kembali kepada Allah dan Rasul-Nya pada masa-masa
yang akan datang, maka itulah nikmat kurniaan yang amat besar darinya.
(Intisari mimbar Jumaat )
Tiada ulasan:
Catat Ulasan