Di usianya 68 tahun, malam Jumaat jam 8.05pm 26 Disember 2013, perginya insan tersayang Allahyarham Hj Ibrahim bin Yasid, seorang bapa yang telah bersusah payah membesar, mengasuh dan menyara kehidupanku, telah dipanggil untuk bertemu dengan Tuhannya. Moga rohnya bersama-sama dalam kalangan orang-orang soleh.
Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburannya, bersihkanlah dia dengan air salji dan embun sebagaimana mencuci pakaian putih dari kotoran, gantikanlah kampungnya dengan kampung yang lebih baik, gantikanlah keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, gantikanlah isterinya dengan isteri yang lebih baik, hindarkanlah dari fitnah kubur dan siksa neraka.
“Ya Allah, janganlah Engkau haramkan permohonan kami untuk kebajikannya dan janganlah Engkau membiarkan kami ditimpa fitnah setelah ketiadaannya dan ampunkanlah kami dan dia, juga rakan kami yang terdahulu beriman dan janganlah Engkau sematkan perasaan hasad dengki ke dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Tuhan kami, sesungguhnya Engkau bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”
Selepas itu, kami adik beradik lelaki juga direzekikan memandikan jasad arwah abah, mengkafankannya, menyembahyangkannya seterusnya menanam jasad yang sangat berjasa itu ke liang lahad.
Kenanganku bersama arwah tidaklah sebanyak adik beradik lain yang sampai sekarang masih duduk di sekeliling (berdekatan) rumah mak dan abah di kampung.
Namun insan inilah yang berjasa mengenalkan aku tentang huruf-huruf al Quran, tajwid dan sangat-sangat membetulkan bacaan Quranku dari masa ke semasa. Tak kiralah sewaktu dilatihnya kami melaungkan azan di masjid, bertadarus di bulan Ramadhan di masjid. Sangat membekalkan anak-anaknya tentang bacaan wirid umum lepas sembahyang, doa lepas sembahyang dan bacaan tahlil dan doa arwah seawal sekolah rendah.
Namun begitu, kebersamaan aku dengan bapaku waktu aku kecil hingga sekolah menengah agak sedikit ekslusif berbanding adik beradik lain.
Waktu aku darjah 3, disuruhnya aku membela ayam kampung belakang rumah. Masa tu duduk dekat Taiping, ayah kerja askar, dilatihnya aku bela itik sekali. Terbayang di mataku aku terpaksa menyiarap bawah reban yang penuh dengan campuran tahi ayam dan itik sama-sama abah untuk mengambil telur itik selang 2-3 hari.
Walaupun wajahnya agak garang ketika kami melakukan kesalahan tajwid, ada adik beradik yang tercampak bawah meja selepas kena tampar, garangnya itulah 'membolehkan' kami semua adik beradik diberi kepercayaan oleh orang masjid di kampung mengetuai kumpulan-kumpulan takbir raya dan membaca doa selamat dari rumah ke rumah pada malam raya aidil fitri. Sesekali dilatihnya kami mengepalai solat subuh di pagi Jumaat selepas dimintanya menghafal surah As-Sajadah dan surah Al-Insan.
Semasa abah bekerja dengan askar, kami sering berpindah randah, dari kampung, berpindah ke Kluang, Johor. Lepas tu ke Sabah. Masa abah posting ke Sabah kami anak beranak tak ikut. Selang 5 tahun lepas tu kami berpindah ke Taiping. Bila abah pencen, barulah kami menetap di kampung.
Sewaktu beliau pencen askar, ayahku mengerjakan tanah pusaka peninggalan Uwan. Pada awalnya abah nak tanam pokok koko, along dan angah menyumbang tenaga untuk gali lubang untuk tanam anak-anak pokok koko di celah-celah pokok getah yang semakin tua. Tapi jenis tanah di kawasan kebun itu tak serasi dengan koko, maka berubah kepada tanaman pokok buah-buahan durian, manggis, langsat, rambutan dan pulasan. Selang 4-5 tahun kenyanglah kami makan buah.
Kenangan semasa mengutip getah beku juga sangat aku teringat jasad abah yang bertungkus lumus menyara kami hidup. Di ajaknya aku sekali, aku keluarkan getah beku sebelum abah menoreh. Pertama kali dia melihat hidungku berkerut sebab 'keharuman' getah beku. "Allah.... bau je busuk, duitnya wangi", kata abah. Lagi seronok bila setiap kali abah ajak pergi kebun, mesti samada sebelum atau selepas ke kebun dia bawa aku minum teh di kedai kopi.
Kehidupan semula di kampung ini, abah banyak libatkan kami dengan masyarakat. Orang kampung dah melantik dia jadi imam. Kami yang sebelum ini banyak solat maghrib dan isyak berjemaah di rumah telah dibiasakan berjemaah di masjid. Bergilir-gilir kami adik beradik azan sewaktu bilal takde atau lambat sampai. Bila ada gotong-royong kenduri kahwin, bila ada kematian, dilatihnya kami secara praktikal mandi, kafan dan kebumikan jenazah ke liang lahad.
Sekali lagi, hidup aku berjauhan dengan abah kerana dapat tawaran sekolah Sains Raub, Pahang selepas aku habis SRP. Latihan setiap tahun, akan ada sebulan abah takde dalam rumah sebab masuk hutan (Operasi Ketenteraan, semasa masih ada saki baki komunis) telah menyebabkan kami terbiasa berjauhan dengan abah.
Bermacam cara abah buat untuk tarik orang ke masjid, dengan dia sendiri terpaksa buat kuliah pendek lepas maghrib. (Aku dapat tahu abah rupanya ada kelulusan senawi sekolah arab, Kajang. Abah juga pernah menjadi guru sambilan sebelum kerja askar. Katanya dapat tawaran STAR di Ipoh terpaksa dilupakan sebab kesempitan kewangan atuk dan uwan). Bila dah datang seorang dua orang muda-muda datang ke masjid, dibuatnya pula aktiviti silat di perkarangan masjid. Sempat jugalah kami adik beradik belajar silat gayung. Rupa-rupanya abah sempat belajar silat gayung semasa kerja di Taiping dulu. Masjid kembali meriah di zamannya....
Abah jenis orang yang kuat berprinsip, maklumlah selain mengajar orang di masjid, buat aktiviti silat, menjadi guru KAFA di sekolah agama kampung, pernah ketua Kampung warning dekat dia, Ustaz jangan bertanding Cawangan ye.....
Abah pernah bagitahu aku "Jangan sekali-kali campurkan agama dengan politik". Memang itulah yang dia amalkan dalam hidupnya.... Sebab itu tak hairan di waktu menunggu jenazahnya untuk dibawa ke masjid, ramai yang menziarahinya terutama gurunya al Fadil Ustaz Arifin, kata Ustaz Arifin "dia anak murid saya, waktu belajar kat sekolah arab dulu, dia rajin bawa kitab arab dekat saya, selalu perdengarkan matan arabnya kepada saya, dia antara murid yang boleh berbahasa arab". Tergamam aku mendengar kata-kata Ustaz Arifin itu yang kini sudah berusia 75 tahun.
Aku teringat, sewaktu abah kembali ke kampung selepas pencen askar, pernah dibawanya aku ke Surau Lama, Sungai Lalang. Dibukanya almari yang usang di surau tu, masih tersimpan kitab-kitab agama yang telah mula dimakan anai-anai. Kitab-kitab peninggalan Tuan Guru Haji Manap. Kata mak "abah masa dia bujang, dia berguru dengan Tuan Guru Haji Manap. Haji Manap ni, kalau dia lalu tempat kami main, semua rasa hormat dan takut, mana yang tak pakai tudung tu, cepat-cepat ambil kain untuk tutup kepala".
Sewaktu aku berpeluang melanjutkan pelajaran di ITM dan USM, setiap kali itulah dia minta aku hafal hadis ini dan dimintanya jadikan hafalan dan amalan.
"Barangsiapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di Akhirat, hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang menghendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan Akhirat) hendaklah dengan ilmu".
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim).
Dan pesanannya sewaktu aku remaja, "Elakkan berjalan di belakang perempuan".
Kini, ayahku telah tiada, namun segala kebaikannya akan ku sambung kepada generasi berikutnya, agar kebaikan yang dicetuskannya disebarluaskan....
Al-Fatehah....
Al fatehah...semoga Arwah ayah tuan ditempatkan dikalangan org mukmin dan soleh serta para Arifin.
BalasPadamImamah rindu sangat dengan arwah atuk...
BalasPadam