Halaman

Ahad, 29 Disember 2013

Ayahandaku Telah Kembali Ke Rahmatullah




Di usianya 68 tahun, malam Jumaat jam 8.05pm 26 Disember 2013, perginya insan tersayang Allahyarham Hj Ibrahim bin Yasid, seorang bapa yang telah bersusah payah membesar, mengasuh dan menyara kehidupanku, telah dipanggil untuk bertemu dengan Tuhannya. Moga rohnya bersama-sama dalam kalangan orang-orang soleh.

   
Ya Allah, ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia,  ampunilah kesalahannya, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburannya, bersihkanlah dia dengan air salji dan embun  sebagaimana mencuci pakaian putih dari kotoran, gantikanlah kampungnya dengan kampung yang lebih baik, gantikanlah keluarganya dengan keluarga yang lebih baik, gantikanlah isterinya dengan isteri yang lebih baik, hindarkanlah dari fitnah kubur dan siksa neraka.


“Ya Allah, janganlah Engkau haramkan permohonan kami untuk kebajikannya dan janganlah Engkau membiarkan kami ditimpa fitnah setelah ketiadaannya dan ampunkanlah kami dan dia, juga rakan kami yang terdahulu beriman dan janganlah Engkau sematkan perasaan hasad dengki ke dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman. Tuhan kami, sesungguhnya Engkau bersifat  Maha Pengasih dan Maha Penyayang.”



  
Alhamdulillah, selepas berziarah semasa cuti panjang tempohari, sempat aku bersama mak dan arwah abah , makan bersama, bersembang-sembang dan bercerita panjang. Sekali lagi sempat juga aku berziarah semasa arwah abah di wad HUKM, dan di saat-saat akhir kehidupannya.

Selepas itu, kami adik beradik lelaki juga direzekikan memandikan jasad arwah abah, mengkafankannya, menyembahyangkannya seterusnya menanam jasad yang sangat berjasa itu ke liang lahad.

Kenanganku bersama arwah tidaklah sebanyak adik beradik lain yang sampai sekarang masih duduk di sekeliling (berdekatan) rumah mak dan abah di kampung.

Namun insan inilah yang berjasa mengenalkan aku tentang huruf-huruf al Quran,  tajwid dan sangat-sangat membetulkan bacaan Quranku dari masa ke semasa. Tak kiralah sewaktu dilatihnya kami melaungkan azan di masjid, bertadarus di bulan Ramadhan di masjid. Sangat membekalkan anak-anaknya tentang bacaan wirid umum lepas sembahyang, doa lepas sembahyang dan bacaan tahlil dan doa arwah seawal sekolah rendah.

Namun begitu, kebersamaan aku dengan bapaku waktu aku kecil hingga sekolah menengah agak sedikit ekslusif berbanding adik beradik lain. 

Waktu aku darjah 3, disuruhnya aku membela ayam kampung belakang rumah. Masa tu duduk dekat Taiping, ayah kerja askar, dilatihnya aku bela itik sekali. Terbayang di mataku aku terpaksa menyiarap bawah reban yang penuh dengan campuran tahi ayam dan itik sama-sama abah untuk mengambil telur itik  selang 2-3 hari.

Walaupun wajahnya agak garang ketika kami melakukan kesalahan tajwid, ada adik beradik yang tercampak bawah meja selepas kena tampar, garangnya itulah 'membolehkan' kami semua adik beradik diberi kepercayaan oleh orang masjid di kampung mengetuai kumpulan-kumpulan takbir raya dan membaca doa selamat dari rumah ke rumah pada malam raya aidil fitri. Sesekali dilatihnya kami mengepalai solat subuh di pagi Jumaat selepas dimintanya menghafal surah As-Sajadah dan surah Al-Insan.

Semasa abah bekerja dengan askar, kami sering berpindah randah, dari kampung, berpindah ke Kluang, Johor. Lepas tu ke Sabah. Masa abah posting ke Sabah kami anak beranak tak ikut. Selang 5 tahun lepas tu kami berpindah ke Taiping. Bila abah pencen, barulah kami menetap di kampung.

Sewaktu beliau pencen askar, ayahku mengerjakan tanah pusaka peninggalan Uwan. Pada awalnya abah nak tanam pokok koko, along dan angah menyumbang tenaga untuk gali lubang untuk tanam anak-anak pokok koko di celah-celah pokok getah yang semakin tua. Tapi jenis tanah di kawasan kebun itu tak serasi dengan koko, maka berubah kepada tanaman pokok buah-buahan durian, manggis, langsat, rambutan dan pulasan. Selang 4-5 tahun kenyanglah kami makan buah.

Kenangan semasa mengutip getah beku juga sangat aku teringat jasad abah yang bertungkus lumus menyara kami hidup. Di ajaknya aku sekali, aku keluarkan getah beku sebelum abah menoreh. Pertama kali dia melihat hidungku berkerut sebab 'keharuman' getah beku. "Allah.... bau je busuk, duitnya wangi", kata abah. Lagi seronok bila setiap kali abah ajak pergi kebun, mesti samada sebelum atau selepas ke kebun dia bawa aku minum teh di kedai kopi.

Kehidupan semula di kampung ini, abah banyak libatkan kami dengan masyarakat. Orang kampung dah melantik dia jadi imam. Kami yang sebelum ini banyak solat maghrib dan isyak berjemaah di rumah telah dibiasakan berjemaah di masjid. Bergilir-gilir kami adik beradik azan sewaktu bilal takde atau lambat sampai. Bila ada gotong-royong kenduri kahwin, bila ada kematian, dilatihnya kami secara praktikal mandi, kafan dan kebumikan jenazah ke liang lahad.

Sekali lagi, hidup aku berjauhan dengan abah kerana dapat tawaran sekolah Sains Raub, Pahang selepas aku habis SRP. Latihan setiap tahun, akan ada sebulan abah takde dalam rumah sebab masuk hutan (Operasi Ketenteraan, semasa masih ada saki baki komunis) telah menyebabkan kami terbiasa berjauhan dengan abah.

Bermacam cara abah buat untuk tarik orang ke masjid, dengan dia sendiri terpaksa buat kuliah pendek lepas maghrib. (Aku dapat tahu abah rupanya ada kelulusan senawi sekolah arab, Kajang. Abah juga pernah menjadi guru sambilan sebelum kerja askar. Katanya dapat tawaran STAR di Ipoh terpaksa dilupakan sebab kesempitan kewangan atuk dan uwan).  Bila dah datang seorang dua orang muda-muda datang ke masjid, dibuatnya pula aktiviti silat di perkarangan masjid. Sempat jugalah kami adik beradik belajar silat gayung. Rupa-rupanya abah sempat belajar silat gayung semasa kerja di Taiping dulu. Masjid kembali meriah di zamannya....

Abah jenis orang yang kuat berprinsip, maklumlah selain mengajar orang di masjid, buat aktiviti silat, menjadi guru KAFA di sekolah agama kampung, pernah ketua Kampung warning dekat dia, Ustaz jangan bertanding Cawangan ye.....

Abah pernah bagitahu aku "Jangan sekali-kali campurkan agama dengan politik". Memang itulah yang dia amalkan dalam hidupnya.... Sebab itu tak hairan di waktu menunggu jenazahnya untuk dibawa ke masjid, ramai yang menziarahinya terutama gurunya al Fadil Ustaz Arifin, kata Ustaz Arifin "dia anak murid saya, waktu belajar kat sekolah arab dulu, dia rajin bawa kitab arab dekat saya, selalu perdengarkan matan arabnya kepada saya, dia antara murid yang boleh berbahasa arab". Tergamam aku mendengar kata-kata Ustaz Arifin itu yang kini sudah berusia 75 tahun.

Aku teringat, sewaktu abah kembali ke kampung selepas pencen askar, pernah dibawanya aku ke Surau Lama, Sungai Lalang. Dibukanya almari yang usang di surau tu, masih tersimpan kitab-kitab agama yang telah mula dimakan anai-anai. Kitab-kitab peninggalan Tuan Guru Haji Manap. Kata mak "abah masa dia bujang, dia berguru dengan Tuan Guru Haji Manap. Haji Manap ni, kalau dia lalu tempat kami main, semua rasa hormat dan takut, mana yang tak pakai tudung tu, cepat-cepat ambil kain untuk tutup kepala".

Sewaktu aku berpeluang melanjutkan pelajaran  di ITM dan USM, setiap kali itulah dia minta aku hafal hadis ini dan dimintanya jadikan hafalan dan amalan.

"Barangsiapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di dunia, hendaklah dengan ilmu. Barangsiapa yang menghendaki (kejayaan) hidup di Akhirat, hendaklah dengan ilmu dan barangsiapa yang menghendaki kedua-duanya (kejayaan hidup di dunia dan Akhirat) hendaklah dengan ilmu".
(Hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim). 

Dan pesanannya sewaktu aku remaja, "Elakkan berjalan di belakang perempuan".

Kini, ayahku telah tiada, namun segala kebaikannya akan ku sambung kepada generasi berikutnya, agar kebaikan yang dicetuskannya disebarluaskan....

"Abah, kami rindu kepadamu..... Akan kami selitkan doa dan amal jariah buatmu...."

Al-Fatehah....




 

 

Rabu, 25 Disember 2013

Kehormatan Seorang Muslim



Hadis Ke Lapan



Kehormatan Seorang Muslim

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Umar r.huma, bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

” Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mahu bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad adalah Pesuruh Allah, dan mereka mendirikan solat, dan mereka menunaikan zakat. Apabila mereka telah melakukan itu, maka bererti mereka telah melindungi darah dan hartanya dariku melainkan dengan haq Islam, dan hisab mereka di sisi Allah Ta’ala.”

(Hadis Riwayat Bukhari)

Selasa, 24 Disember 2013

Kejadian Pelik Di Lahad Datu Hari Ini (24 Disember 2013)

 

Sumber: Berita Arus Perdana



lagi video berkenaannya



Addinun Nasihah

Hadis Ke Tujuh


 


Agama Adalah Nasihat

Diriwayatkan dari Abu Ruqaiyah Tamim bin Aus Ad-Dari r.a, bahawa Rasullullah S.A.W telah bersabda:

”Agama itu nasihat.” 

Kami bertanya: ”Terhadap siapa?” 

Baginda bersabda: “Terhadap Allah, terhadap KitabNya, terhadap RasulNya, terhadap pemimpin kaum Muslimin dan terhadap kaum awam mereka.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Ahad, 22 Disember 2013

Halal Wa Haram

Hadis Ke Enam

Halal Dan Haram


Diriwayat dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.huma, ia berkata: Aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda: 
“Sesungguhnya yang halal itu nyata dan haram itupun nyata, dan di antara keduanya ada musytabihat (perkara-perkara yang samar) yang mana kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Barangsiapa yang memelihara diri dari segala pekara-perkara syubhat itu, maka sesungguhnya ia telah membersihkan agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa yang jatuh ke dalam perkara syubhat itu maka ia telah jatuh ke dalam perkara-perkara yang haram seperti seorang penggembala yang menggembalakan kambingnya di sekitar kawasan terlarang yang nyaris kambingnya itu merumput di dalamnya. Ingatlah bahawa setiap raja mempunyai kawasan larangan! Ingatlah bahawa kawasan larangan Allah adalah apa yang diharamkanNya. Ingatlah bahawa di dalam jasad itu terdapat seketul daging; apabila ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasadnya. Ingatlah bahawa seketul daging itu adalah hati.”
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Jumaat, 20 Disember 2013

Silangkata Bercorak Islam 012

Salam.
012 muncul lagi mengisi kekosongan pengisian kalimah toyyibah dalam rangkaian internet pada minggu ke dua belas...
Seperti biasa dipaparkan dahulu syarat-syarat penyertaan:

1) Terbuka kepada remaja Malaysia sehingga 30 tahun.
2) Sah sehingga Jumaat, 27 Disember 2013.
3) Keputusan Hakim adalah muktamad.
4) Lengkapkan slogankata berikut:
Saya berusaha menjawab soalan silangkata bercorak Islam kerana ..............................................................................................................
(tidak lebih dari 25 perkataan).

Hadiah berupa wang Tunai*

Pertama: RM10.00

3 Hadiah Saguhati: RM5 setiap satu.

*Hanya yang memenuhi terma dan syarat sahaja layak perolehi hadiah.

(Hadiah ini datang dari seorang hamba Allah yang tidak mahu namanya disebut dan beliau sudi menghulurkan sejumlah di atas untuk setiap minggu, Alhamdulillah)

Insya Allah jawapan akan dipaparkan setiap Jumaat.


Berikut adalah Silangkata 012:



Melintang

1) 4 golongan

  • Golongan  beriman
  • Golongan beramal soleh
  • Golongan berpesan-pesan agar berlaku kesabaran
  • Golongan berpesan-pesan agar tetap dalam kebenaran
    adalah golongan manusia yang dijamin Allah tidak akan berada dalam _________.

2) Sikap yang sangat percaya dan berusaha ke arah akan apa yang diharapkan berlaku walaupun ada pihak yang merendah-rendahkan harapannya.

3) Neraka Wail bagi orang yang ______ dalam solatnya.

4) Kalau nak tahu apa yang sangat di_______i oleh seseorang adalah dengan memerhatikan perkataan apa yang paling banyak keluar dari mulutnya dan apa yang menjadi kegilaannya.

 
5) Ujian berupa musibah, diterima sebagai satu ketentuan Tuhan kepadanya. Namun hatinya masih 'bertarik tali' atau masih mujahadah dengan nafsu dan syaitan yang menghasut dia untuk bercakap dan bertindak seperti 'aduh', 'mengeluh', 'marah' dan sebagainya. Namun perkataan atau sikap itu takkan terkeluar dari mulutnya atau perbuatannya kerana berjayanya dia melawan nafsu dan syaitan dalam diri yang kerap kali muncul dan bermain dalam hatinya.

 

Menurun

6) Bersangka buruk

7) Nabi yang akan turun dari langit di Akhir Zaman sebelum dunia diKiamatkan, baginda akan mengikut syariat Nabi Muhammad SAW dan akan membunuh Dajjal.

8) 7 golongan yang mendapat _______ arasy oleh Allah SWT di Akhirat kelak iaitu pemimpin yang adil,
pemuda yang taat kepada Allah sejak kecil, lelaki yang terpaut hatinya dengan masjid, dua orang yang saling kasih-mengasihi kerana Allah, lelaki yang diajak oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik untuk berzina, lalu ia berkata: “Aku takut kepada Allah”, orang yang bersedekah secara sembunyi sehingga tidak mengetahui tangan kirinya apa yang diberi oleh tangan kanannya dan orang yang bermunajat kepada Allah sambil bergelinang airmatanya
   
9) Takutilah ____________ orang mukmin kerana dia melihat dengan cahaya dari Allah SWT.

10) Salah satu huruf Idgham Bilaghunnah.




Untuk menentukan nama anda naik sebagai peserta silangkata yang menjawab betul semua bolehlah isi borang tersebut:

Silangkata 012:

Nama:________________________________________
Umur:________________________________________
Bandar dan negeri:______________________________
Nombor Akaun Maybank:________________________


Jawapan saya:
Melintang
1)______
2)______
3)______
4)______
5)______
Menurun
6)______
7______
8)______
9)______
10)_______

Hantarkan samada secara

SMS: 0195670691
BBM: 26F3B5F1 (kena invite dulu)
Email: alangfauziandak@gmail.com
(boleh juga send gambar peserta)


Untuk menaja hadiah teka silangkata sila berhubung nombor di atas.

Berikut adalah jawapan Silangkata Bercorak Islam 011:





Tahniah kepada yang menjawab semua betul tapi tak sempat nak hantar.

Khamis, 19 Disember 2013

Melenyapkan Kemungkaran Dan Bid’ah



Hadis Kelima

Diriwayatkan dari Ummul Mukminin, Ummu Abdillah, Aisyah r.ha, ia berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

Barangsiapa yang mengada-ngadakan sesuatu yang baru dalam urusan (agama) kita ini yang bukan bahagian darinya maka tertolak.”

(Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)  

Sementara dalam riwayat Imam Muslim lainnya:

Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan, di mana amalan itu bukan merupakan perintahku maka ia tertolak."

Selasa, 17 Disember 2013

Penciptaan Manusia dan Amalan Terakhirnya

Hadis Ke Empat





Tahap Penciptaan Manusia dan Amalan Terakhirnya

Diriwayatkan dari Abdur Rahman, Abdullah bin Mas’ud r.a, ia berkata: 
Rasulullah S.A.W bersabda kepada kami, sedang beliau adalah seorang yang benar lagi membenarkan: 
Sesungguhnya seseorang dari kalian dikumpulkan ciptaannya dalam perut ibunya selama empat puluh hari berupa nutfah (air mani),  lalu menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama empat puluh hari pula, lantas menjadi mudghah (seketul daging) pada waktu sama pula. Kemudian Allah mengirimkan Malaikat untuk meniupkan roh kepadanya, dan diperintahkan agar menuliskan empat perkataan atau ketetapan, iaitu rezeki, ajalnya, amalnya dan kesengsaraan dan kebahagiaannya. Dan demi Allah, Zat Yang tiada Tuhan kecuali Dia, sesungguhnya seseorang di antara kalian ada yang beramal  dengan amalan penghuni Syurga sehingga jarak antara dia  dengan Syurga tidak lebih dari sehasta. Lalu kitab suratan takdir mendahuluinya, sehingga orang tersebut beramal dengan ahli Neraka, maka ia pun masuk Neraka . Dan sesungguhnya seseorang di antara kalian ada yang  beramal dengan amalan penghuni Neraka hingga jarak antara dia dan Neraka tidak lebih dari sehasta. Lalu suratan takdir mendahuluinya, sehingga orang tersebut beramal dengan amal ahli Syurga, maka ia pun masuk Syurga".
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sabtu, 14 Disember 2013

Rukun Islam dan Dasar-Dasarnya

Hadis ketiga



Diriwayatkan dari Abu Abdur Rahman, Abdullah bin Umar bin Al-Khattab r.huma, ia berkata: 
Aku pernah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

Islam dibina di atas lima perkara: Persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad itu Pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, melaksanakan haji ke Baitullah, dan berpuasa di bulan Ramadhan.”

(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)

Jumaat, 13 Disember 2013

Silangkata Bercorak Islam 011

Salam.
Silangkata Bercorak Islam muncul lagi secara istiqomah pada minggu ke sebelas, buat menguji minda anda.....

Seperti biasa dipaparkan dahulu syarat-syarat penyertaan:

1) Terbuka kepada remaja Malaysia sehingga 30 tahun.
2) Sah sehingga Jumaat, 20 Disember 2013.
3) Keputusan Hakim adalah muktamad.
4) Lengkapkan slogankata berikut:
Saya berusaha menjawab soalan silangkata bercorak Islam kerana ..............................................................................................................
(tidak lebih dari 25 perkataan).

Hadiah berupa wang Tunai*

Pertama: RM10.00

3 Hadiah Saguhati: RM5 setiap satu.

*Hanya yang memenuhi terma dan syarat sahaja layak perolehi hadiah.

(Hadiah ini datang dari seorang hamba Allah yang tidak mahu namanya disebut dan beliau sudi menghulurkan sejumlah di atas untuk setiap minggu, Alhamdulillah)

Insya Allah jawapan akan dipaparkan setiap Jumaat.


Berikut adalah Silangkata 011:



Melintang

1) Buah sebagai makanan penduduk Neraka.


2) 'Buah Larangan' ketika Nabi Allah Adam a.s dan Hawa di Syurga.

3) Tidak

4) Iman itu diucapkan atau diakui oleh lidah, dibenarkan atau dipercayai atau diyakini oleh hati dan dibuktikan atau diperlakukan oleh ____________.

5) Salah satu sunat wuduk adalah membasuh ____________.

Menurun

1) Puteri Rasulullah SAW

4) Center

6) Lima golongan di bawah (menurut Hadis riwayat Muslim dan Tabrani):
  • Memaki hamun orang
  • Menuduh orang
  • Memakan harta orang
  • Menumpah darah orang
  • Memukul orang
    Adalah golongan yang _________ di Akhirat.
   
7) _____ Allah SWT, tidak boleh digambarkan. Tuhan tidak seperti gambaran manusia yang sesat yang menggambarkan Tuhan seperti bulan, matahari, cahaya, seperti manusia, seperti patung berhala, palang, dewa-dewa, bayang-bayang lembaga dan lain-lain.

Kerana itu kalau ada sesiapa yang boleh menggambarkan Tuhan itu begian-begian, maka iktiqadnya sudah salah. 

Kalaulah Tuhan itu boleh digambarkan seperti yang telah digambarkan oleh mereka-mereka yang sesat, eh!... lemah sangatlah Tuhan tu! (Maha Suci Tuhan dari bersifat lemah)

لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ

“Dia Allah tidak menyerupai sesuatu apapun dari makhluk-Nya”. 
 ( Asy-Syura: 11)

Sebab itu bila belajar tauhid, makin kita 'tak tahu' tentang Tuhan. 'Tak tahu' di sini ialah makin kita tak dapat gambarkan Tuhan itu dengan sesuatu apapun. Inilah salah satu dari yang dikatakan Orang Mukmin itu sangat beriman dengan perkara yang ghaib. (الَّذِيْنَ يُؤْمِنُوْنَ بِالْغَيْبِ).

Tuhan itu boleh dikenali dengan sifat 20 yang wajib, 20 yang mustahil dan 1 yang harus, melalui 99 nama-nama Allah dalam Asma ul husna dan sifat-sifat kesempurnaan Allah SWT. 

Berita gembira untuk orang mukmin bahawa, di Syurga nanti semua boleh melihat Allah SWT.

Firman Allah Ta’ala,
{لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ}
Mereka di dalam Syurga memperoleh apa yang mereka kehendaki, dan pada sisi Kami ada tambahannya (melihat wajah Allah Ta’ala)” 
(Qaaf:35).
{كَلا إِنَّهُمْ عَنْ رَبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَمَحْجُوبُونَ}
Sekali-kali tidak, sesungguhnya mereka (orang-orang kafir) pada hari kiamat benar-benar terhalang dari melihat wajah Allah” 
(al-Mutaffifin:15).

8) Golongan berjaya di dunia dan berjaya di Akhirat.


Untuk menentukan nama anda naik sebagai peserta silangkata yang menjawab betul semua bolehlah isi borang tersebut:

Silangkata 011:

Nama:________________________________________
Umur:________________________________________
Bandar dan negeri:______________________________
Nombor Akaun Maybank:________________________


Jawapan saya:
Melintang
1)______
2)______
3)______
4)______
5)______
Menurun
1)______
4)______
6)______
7)______
8)_______

Hantarkan samada secara

SMS: 0195670691
BBM: 26F3B5F1 (kena invite dulu)
Email: alangfauziandak@gmail.com
(boleh juga send gambar peserta)


Untuk menaja hadiah teka silangkata sila berhubung nombor di atas.

Berikut adalah jawapan Silangkata Bercorak Islam 010:




 
Peserta yang bertuah adalah..... (belum ada yang menjawab semua betul)

Tahniah kepada yang menjawab semua betul tapi tak sempat nak hantar.









Selasa, 10 Disember 2013

Teringat Pesan Saiyidina Umar Al-Khattab r.a.

Pesan Saiyidina Umar r.a  kepada panglima tenteranya yang telah disusun untuk mara ke medan jihad, Saad bin Abi Waqqas r.a. "Wahai tentera muslimin! Takutlah kepada Allah kerana dosa-dosa yang telah dan akan kamu lakukan, nanti Allah mencampakkan rasa gerun yang dihati kamu kepada hati-hati musuh, agar musuh gerun melihat kamu. Tapi kalau kamu berani melakukan dosa, nanti Allah mencampakkan rasa gerun musuh kepada hati kamu dan kamu pula merasa gerun kepada musuh dan kamu dapati musuh begitu berani mengkeronyokkan kamu...."


Mari kita muhasabah diri..........Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami. Ya Allah selamatkanlah umat Islam, moga-moga hati umat Islam makin takut kepada Allah dan rindukan Nabi. Dan jadikanlah kami orang-orang yang bertaqwa...

Isnin, 9 Disember 2013

Islam, Iman Dan Ihsan


Hadis kedua

عَنْ عُمَرَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ أَيْضًا قَالَ: " بَيْنَمَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم ذَاتَ يَوْمٍ، إذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ، شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعْرِ، لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ، وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ. حَتَّى جَلَسَ إلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه و سلم . فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إلَى رُكْبَتَيْهِ، وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ
وَقَالَ: يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه و سلم الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إلَهَ إلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ، وَتَصُومَ رَمَضَانَ، وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إنْ اسْتَطَعْت إلَيْهِ سَبِيلًا
قَالَ: صَدَقْت . فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ
 قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ
قَالَ: أَنْ تُؤْمِنَ بِاَللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ
قَالَ: صَدَقْت. قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ
قَالَ: أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّك تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاك
قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ. قَالَ: مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ
قَالَ: فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَاتِهَا؟ قَالَ: أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا، وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ. ثُمَّ انْطَلَقَ، فَلَبِثْنَا مَلِيًّا
ثُمَّ قَالَ: يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟
‫‬قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ
قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ
[رَوَاهُ مُسْلِمٌ]



Diriwayatkan dari ‘Umar bin Khaththab r.a, ia berkata ”Pada suatu ketika kami sedang duduk di sisi Rasulullah S.A.W, tiba-tiba muncul kepada kami seorang lelaki yang memakai pakaian yang sangat putih dan rambutnya amat hitam. Tidak kelihatan darinya tanda-tanda orang yang sedang dalam perjalanan dan tidak ada seorang pun di kalangan kami yang mengenalinya. Ia segera duduk di hadapan Nabi S.A.W, lalu lututnya disandarkan kepada lutut Nabi dan meletakkan kedua tapak tangannya di atas dua paha Nabi S.A.W, seraya berkata “Hai Muhammad! Khabarkanlah kepadaku tentang Islam.”
Jawab Rasulullah S.A.W: ”Islam adalah engkau bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad adalah Pesuruh Allah, engkau mendirikan solat,engkau menunaikan zakat, engkau berpuasa pada bulan Ramadhan, dan engkau menunaikan haji ke Baitullah jika engkau mampu melakukannya.”
Lelaki itu berkata: “Engkau benar.”                                                                                                    

Maka kami pun merasa hairan kerana ia yang bertanya dan ia pula yang membenarkannya. Kemudian ia bertanya lagi: “Khabarkanlah kepadaku tentang iman.”
Jawab Nabi S.A.W : ”Engkau beriman kepada Allah, kepada MalaikatNya, kepada kitab-kitabNya, kepada para rasulNya, kepada hari Akhirat dan engkau beriman kepada taqdir Allah, yang baik dan yang buruk.”
Ia berkata: ”Engkau benar.”

Dan ia berkata lagi:  “Khabarkanlah kepadaku tentang Ihsan.”
Jawab Nabi S.A.W : ”Engkau beribadah kepada Allah seolah-olah engkau melihatNya, dan bila engkau tidak mampu melihatnya sesungguhnya Dia melihatmu.”

Lelaki itu berkata lagi: ”Beritahu aku bila terjadinya Qiamat.”
Jawab Nabi S.A.W : ”Yang bertanya tidaklah lebih tahu dari yang bertanya.”

Dia pun bertanya: ”Beritahukan kepadaku tentang tanda-tandanya!”
Jawab Nabi S.A.W : ”Jika seorang hamba telah melahirkan tuannya, jika engkau melihat orang yang tidak beralas, telanjang, miskin dan pengembala kambing telah saling berlumba-lumba dalam mendirikan bangunan yang menjulang tinggi.”

Setelah itu lelaki tersebut pun segera pergi. Aku pun terdiam sekian lamanya sehingga Nabi S.A.W bersabda kepadaku: ”Wahai Umar, tahukah engkau siapakah lelaki yang bertanya itu!” 
Aku menjawab: ”Allah dan RasulNya lebih mengetahui.”
Beliau bersabda: ”Dia adalah Jibril yang datang kepada kalian untuk mengajarkan kepada kalian tentang agama kalian.”
(Diriwayatkan oleh Muslim)
 

Sabtu, 7 Disember 2013

Maha Suci Tuhan Dari Tidak Berperanan Sebagai Tuhan!


Mari belajar dari alam, nak belajar dengan alam ni kena tahu dulu ilmu asas agama dan latihan mencelikkan hati yang berterusan agar hati kita terus dipandu Allah SWT. Inilah yang dipanggil Universiti Kehidupan. Dalam Al-Quran selalu dikepilkan dihujung-hujung ayat "Afala tatazakkarun", "Afala ta'qilun", "Afala tatafakkarun" dan lain-lain.

Nabi Ibrahim a.s. waktu remaja baginda banyak melakukan latihan mencelikkan hati baginda, dengan menimbulkan banyak pertanyaan dan mencari jawapan yang setepatnya, seperti kisah popular dari baginda, "Patutkah dikatakan Tuhan itu BULAN?". Maka baginda pun memerhatikan BULAN dan tiba-tiba hilang di waktu siang. Kalau macam ini, confirm BULAN bukan Tuhan. Maka bagindapun membuat hipotesis lain. "Kalau begitu, mungkin sahaja MATAHARI?" tapi MATAHARI pun sama nasibnya menghilangkan diri pada waktu malam. Sedangkan Tuhan mana boleh begini, mesti ada setiap saat dan ketika!

Begitu juga bila terlintas di hati baginda, bagaimana pula Tuhan nak menghidupkan manusia semasa kehidupan di Akhirat nanti, sedangkan manusia kebanyakannya sudah hancur hingga ke tulang belulang. Maka berlakulah peristiwa seperti yang tercatat dalam Al-Quran. Di suruh oleh Allah SWT akan Nabi Ibrahim memotong beberapa ekor burung dan campur adukkan potongan tersebut dan diletakkan di beberapa kawasan. Allah SWT telah menunjukkan Maha Berkuasa nya Tuhan dengan berterbangan potongan-potongan burung itu mencari jasad masing-masing dan bercantum antara satu sama lain. Seterusnya burung-burung itu hidup dan berterbangan di angkasa.

Maha Suci Tuhan dari tidak berperanan sebagai Tuhan!


Jumaat, 6 Disember 2013

Silangkata Bercorak Islam 010

Salam, 010 muncul buat kali ke sepuluh, melontarkan soalan-soalan aplikasi kehidupan.

Seperti biasa dipaparkan dahulu syarat-syarat penyertaan:

1) Terbuka kepada remaja Malaysia sehingga 30 tahun.
2) Sah sehingga Jumaat, 13 Disember 2013.
3) Keputusan Hakim adalah muktamad.
4) Lengkapkan slogankata berikut:
Saya berusaha menjawab soalan silangkata bercorak Islam kerana ..............................................................................................................
(tidak lebih dari 25 perkataan).

Hadiah berupa wang Tunai*

Pertama: RM10.00

3 Hadiah Saguhati: RM5 setiap satu.

*Hanya yang memenuhi terma dan syarat sahaja layak perolehi hadiah.

(Hadiah ini datang dari seorang hamba Allah yang tidak mahu namanya disebut dan beliau sudi menghulurkan sejumlah di atas untuk setiap minggu, Alhamdulillah)

Insya Allah jawapan akan dipaparkan setiap Jumaat.


Berikut adalah Silangkata 010:


Melintang

1) Salah satu rukun fe'li dalam solat.

2) Mesti ditutup oleh lelaki dengan pakaian dari pusat ke lutut. Namun, dewasa ini masih lagi ada yang berani mendedahkannya sedangkan sudah jelas ianya berdosa terutama ketika membasuh kereta, bermain bola dan berenang di kolam renang/sungai/laut.

3) Maha Suci Allah

4) Kitab yang diturunkan kepada Nabi Daud

5) Hanya 25% yakin dan 75% dari hatinya tidak yakin kepada Rukun Iman yang enam.

6) Cara haiwan menghadapi musim sejuk yang panjang, dengan menurunkan kadar metabolisme dan mengurangkan penggunaan tenaga dengan cara berehat atau tidur dalam satu jangkamasa yang lama.


Menurun

7) Salah satu acara riadah Rasulullah SAW.

8) Baris dua di atas, baris dua di bawah dan baris dua di hadapan.

9) Gelaran kepada Saiyidina Hamzah bin Abdul Mutalib r.a.

10) "Kalaulah bukan kerana aku pernah melihat Rasulullah pernah mengucup batu itu, nescaya aku tidak mengucupnya". Apakah yang dimaksudkan oleh kata-kata Saiyidina Umar bin Al-Khattab ini?

11) Salah satu sebab kenapa Syiah terkeluar dari Ahli Sunnah Waljamaah kerana mengamalkan nikah kontrak tanpa wali. Atas perjanjian antara pasangan dalam tempoh masa tertentu, sudah menghalalkan perlakuan suami isteri. Bukankah melanggani pelacur sedemikian juga caranya? Na'uzubillah.


Untuk menentukan nama anda naik sebagai peserta silangkata yang menjawab betul semua bolehlah isi borang tersebut:

Silangkata 010:

Nama:________________________________________
Umur:________________________________________
Bandar dan negeri:______________________________
Nombor Akaun Maybank:________________________


Jawapan saya:
Melintang
1)______
2)______
3)______
4)______
5)______
6)______
Menurun
7)______
8)______
9)______
10)______
11)_______

Hantarkan samada secara

SMS: 0195670691
BBM: 26F3B5F1 (kena invite dulu)
Email: alangfauziandak@gmail.com

(boleh juga send gambar peserta)

Untuk menaja hadiah teka silangkata sila berhubung nombor di atas.



Berikut adalah jawapan Silangkata Bercorak Islam 009:



Tahniah kepada yang menjawab semua betul.(Tapi SK009 belum ada yang menjawab semua betul)